Pemanis mimpi, renungan nubari:
Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 37)
Istilah rezeki perlu difahami dalam konteks yang luas. Rezeki bukan hanya merujuk kepada wang ringgit, sebaliknya rezeki mencakupi pelbagai perkara seperti makan, minum, zuriat, pekerjaan, masa lapang, keluarga, kesihatan dan kesejahteraan.
Justeru, setiap Muslim perlu menyedari hakikat rezeki yang diterima datangnya daripada Allah SWT. Tidak ada satu bentuk rezeki yang tidak termasuk dalam kurniaan Allah SWT.
Memang benar, kita berusaha untuk mendapatkan rezeki, namun usaha itu bergantung sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia kembali. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)